Minggu ke 19@ 19 weeks of Pregnancy

Perkembangan bayi dari satu bulan (4 minggu) ke 6 bulan (24 minggu)


Assalamualaikum WBT

Sedar tidak sedar Qis dah masuk trimester kedua, 19 minggu to be exact. Alhamdulillah Thumma Alhamdulillah.

Minggu ini, kali pertama Qis rasa ada sesuatu yang bergerak-gerak dalam perut. At first, rasa itu hanya seperti rasa perut berkeroncong bila lapar, tapi lokasi pergerakkan tu lebih ke bahagian bawah abdomen (bukan kawasan perut tetapi rahim). :) Masa mula-mula, masih kurang pasti apakah itu baby atau something else.

Dalam beberapa hari lepas itu, barulah rasa pergerakan itu jadi kerap dan Qis pasti ianya baby. Qis tidak dapat mengelakkan diri daripada tersenyum setiap kali rasa baby bergerak. 

MashaAllah rasa sangat bersyukur dapat rasa pergerakan kamu sayang. Kerana inilah doa Qis sepanjang Qis TTC lebih daripada setahun agar Allah Taala izin Qis merasakan nikmat gerak baby dalam rahim suatu masa nanti. Qis turut mendoakan semua bakal Ummi yang sedang menanti di luar sana untuk kekal positif & tidak berputus-asa. Masa kita pasti akan tiba. InshaAllah.

Buat baby, terima kasih kerana kekal aktif & sihat dalam perut Ummi. InshaAllah, kamu terus kuat & sihat ya. InshaAllah. :')

Selain daripada baby dah start bergerak dalam minggu ini, ada beberapa perkara lagi yang kita perlu ibu-ibu yang sedang mengandung tahu. Qis share sikit ya. ;)

Baby sudah mendengar anda

Deria bayi sedang berfungsi dengan ligat minggu ini. Saraf-saraf dalam otak bayi sedang berkembang untuk setiap deria- rasa, bau, mendengar, melihat dan menyentuh. Dia sudah boleh mendengar anda dari kantung rahim anda. 

Oleh itu, sebaiknya ibu harus menjaga adab percakapan terutamanya dengan suami dan orang-orang sekeliling. Adab ini sesuatu yang harus dipupuk sejak dari alam rahim lagi. Rajinlah berbual dengan bayi pada fasa ini dan seterusnya dan ajaklah ayah sesekali juga berbicara dengan bayi. Ini InshaAllah dapat meransang pertumbuhan otak & deria bayi dengan lebih cepat & sempurna. 

Perdengarkanlah alunan ayat-ayat suci Al-Quran & zikir-zikir harian supaya anak didalam kandungan ini lahirnya nanti sudah familiar dengan ayat-ayat ini dan menyukainya. Nasyid juga boleh menjadi halwa telinga bayi.

Dalam kesibukan dan keletihan ibu perlu berusaha untuk melatih anak dari dalam kandungan lagi. Benarlah kata orang, ibu itu madrasah pertama anak-anak. Walaupun dalam keadaan emosi yang bercelaru, ibu perlu banyak beristighfar & berselawat supaya diberi ketenangan. Sang ayah juga perlu banyak menenangkan isteri kerana saat ini emosi isteri terlalu mudah terganggu. Semoga Allah membantu kita mendidik diri & keluarga kecil kita. :)





Baby sudah mula menelan

Makanan bayi saat ini adalah cecair amnion dalam kantung rahim ibu. Sistem ginjalnya pula berfungsi mengeluarkan sisa buangan kencing dari tubuh bayi. Proses ini berlaku sebagai persediaan bayi untuk minum dan berkumuh apabila lahir kelak.

Ibu perlulah menjaga pemakanan daripada segi lahiriah & batiniah (Ustazah Bahyah, Amalam Ibu Mengandung). Dari segi lahiriah, makanan yang ibu makan akan terserap ke tubuh bayi melalui pembuluh darah yang bersambung daripada perut ibu ke perut bayi dikenali sebagai uri. Nutrisi yang lengkap menjadikan pertumbuhan bayi sihat. Qis ada masalah tidak suka makan sayur sebelum mengandung dan agak sukar juga untuk mengubah tabiat ini ketika mengandung. Namun, Qis berusaha juga untuk menyediakan porsi sayur dalam diet harian. Namun, Qis banyak mengambil buah-buahan. Tapi ingat ya ibu-ibu sayur-sayuran itu penting dan jangan diganti dengan buah semata-mata kerana ada nutrien penting dalam sayuran hijau yang tidak terdapat dalam buah-buahan. Oleh itu, Qis perlu ambil supplemen dan makanan tambahan. Ini akan Qis ceritakan dalam entry yang lain.

Dari segi batiniah, soal halal haram syubhah harus dititikberatkan. Kita perlu meneliti, kandungan bahan, bagaimana kita mendapatkan makanan tersebut malah dari mana hasil duit pembelian makanan itu. Ini soal sesuatu yang mendarah daging dalam tubuh kita jadi memang tidak boleh dibuat main. Qis tempoh hari dilema mengidam Ramen Korea yang famous dijual sekarang ini. Setelah meniliti, pasti ianya halal dan bertanyakan pendapat Hubby, keluarga & rakan, Qis akhirnya merasa juga sebungkus ramen itu. Asalnya suami memang berkeras tidak mahu bagi Qis rasa. Oleh sebab teringin sangat merasakan kepedasannya, Hubby benarkan. Allah memang lepas rasa mengidam, namun rasa bersalah juga kerana ia bukanlah makanan berkhasiat. Taubat tak mahu lagi menjamah makanan sebegini :( Pelik-pelik juga orang mengidam ni ya. Huu~




Jika Babygirl, kilang telurnya sudahpun terbentuk!

Bayi perempuan saat ini memiliki sekitar enam juta telur dalam ovarinya. Bila lahir nanti, kilang telur akan menghasilkan hampir 1 juta telur. Subhanallah! Bayi lelaki pula hanya akan menghasilkan spermanya seusai aqil baligh. Sebab itulah kalau kita lihat pertumbuhan kanak-kanak perempuan lebih pesat daripada kanak-kanak lelaki di awal pertumbuhan. Namun, bila anak-anak lelaki ini sudah mencecah usia aqil baligh, mereka akan membesar melangkaui rakan perempuan seusia mereka.

Meneliti ciptaan Allah yang berbeza lelaki & perempuan ini membuatkan kita memikirkan kebijaksanaan & kebesaran Allah itu sendiri. Pada zaman jahiliah dahulu, orang-orang Arab sangat malu apabila mendapat khabar isterinya melahirkan anak perempuan sehingga dikatakan wajah-wajah mereka menjadi hitam menahan marah. Hanya ada dua pilihan bagi anak-anak ini, samaada dibiarkan hidup dalam keadaan memalukan atau dibunuh hidup-hidup ketika kecil. Cahaya Islam membawa ajaran yang tulus dan benar menolak semua budaya jahiliyah ini. Setiap anak itu adalah anugerah, lelaki atau perempuan. Banyak juga hadith yang menunjukkan kebaikan-kebaikan memelihara anak perempuan sebaiknya.

Qis dan Hubby tidak kisah jantina anak kami yang bakal lahir ini kerana kami sudah cukup bersyukur Allah memberi rezeki juga kepada kami mengandungkan anak ini setelah sedikit masa diuji dan berusaha. Lelaki atau perempuan, keduanya amanah Allah. Lahirnya kelak putih suci, ibu bapa yang mencorakkan mereka.










Okayy lah, esok inshaAllah Qis ada appointment Dr di Klinik Kesihatan Bukit Tunggal berdekatan rumah. Jadual pemeriksaan esok termasuklah MOGTT (minum air gula) & scan baby kali kedua. Doakan baby & Qis sihat-sihat sahaja ya. :)))

Wallahualam, wassalam.



Rujukan:
1) Perkembangan fetus- hamil 19 minggu, http://www.babycenter.com.my/a1044270/perkembangan-fetus---hamil-19-minggu#ixzz4Fzn02s2a
2) Amalan Ibu Mengandung [Part 2] Ustazah Siti Nur Bahyah https://www.youtube.com/watch?v=TrKRhOAmbzE&list=PLD4C6FC58C600C926
3) Pedoman Pendidikan Anak-Anak - psykology terhadap anak, Habib Ali Zainal Abidin,
https://www.youtube.com/watch?v=xkoRrtzwkfU&list=PLBKi38wEkJ5qAczvyc5iAs5KuHQH2B73j





Comments

Popular Posts